Sabtu, 11 Disember 2010

Kelas 2020: Sekolah lemah dipantau


KERAJAAN akan membantu sekolah yang kurang berdaya maju untuk melaksanakan impian kelas 2020, melalui program penambahbaikan pencapaian sekolah, dengan fokus memperbaiki pencapaian pelajar, dan menjadikan semua sekolah berprestasi tinggi menjelang tarikh keramat itu.
Bagaimanapun, sekolah yang telah menjalankan program penambahbaikan diminta meneruskan inisiatif mereka. Dalam kes ini, program penambahbaikan sekolah akan membantu memudahkan program sedia ada oleh pihak sekolah.
Ke arah itu, satu sistem pengumpulan data berpusat dan mekanisme bantu kendiri akan diperkenalkan bagi membolehkan guru menjejak dan mencapai maklumat tentang pencapaian sekolah masing-masing, dan apakah langkah yang boleh dilakukan untuk menambah baik.
Program itu yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan menangani isu kritikal tenaga kerja yang mampu berdaya saing - khususnya dalam mengejar impian menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Program penambahbaikan sekolah ini akan menjadi asas kepada usaha untuk semua sekolah mencapai standard sekolah berprestasi tinggi.
Semua pengetua dan guru besar akan diberi kuasa autonomi untuk mengurus tadbir sekolah, mengurus sumber yang sedia ada dan menghasilkan pelajar seperti mana yang diharapkan.
Program penambahbaikan sekolah terdiri daripada tiga elemen, yang akan dilaksanakan mengikut urutan berikut:
1. Pengkelompokan - Sekolah akan diberi penarafan mengikut kelompok pencapaian. Antaranya mengikut Piawaian Gred Purata Sekolah (GPS) dan Piawaian Kualiti Pendidikan Malaysia (SQEM). Status ranking ini akan dimaklumkan kepada sekolah pada setiap tahun.
2. Perkakasan penambahbaikan sekolah - Data keperluan khusus sesebuah sekolah akan dikumpul, membantu pentadbir sekolah membuat keutamaan dan perancangan, dan memudah cara; diskusi berterusan antara pihak sekolah dengan Jabatan Pelajaran Negeri.
3. Talian khidmat - Mengenal pasti ruang yang perlu diperakui berdasarkan bukti yang telah dikumpulkan, akan disalurkan dari Kementerian Pelajaran kepada sekolah, dengan sasarannya ialah para pengetua, pelajar dan ibu bapa - selain infrastruktur.
Sementara program sekolah berprestasi tinggi bertujuan meletakkan tahap sekolah pada satu kedudukan yang cemerlang, program penambahbaikan sekolah ini pula bertujuan meningkatkan mutu semua sekolah, serta menghubungkan segala inisiatif yang ada di KPM, seperti inisiatif baru kepada pentadbiran sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS) serta transformasi kurikulum.
Program penambahbaikan sekolah lebih bersifat berpusatkan sekolah. Hal ini bagi membolehkan pengetua atau guru besar memiliki kuasa autonomi untuk melaksanakan program penambahbaikan - sama ada berkaitan hal pentadbiran sekolah atau penambahbaikan program keguruan masing-masing.
Program kali ini bukan lagi berfokus kepada kawasan atau sekolah tertentu. Program ini akan meliputi 10,000 buah sekolah di seluruh negara.
Pengenalan kepada inisiatif pengkelompokan sekolah adalah sebahagian daripada kelancaran program inisiatif dan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar, dengan mutu perkhidmatan mereka menjadi pertaruhan.
Di bawah program penambahbaikan sekolah, pengkelompokan memberi gambaran kepada pencapaian sesebuah sekolah dan memudahkan untuk dibantu.
Kerajaan kini menggalakkan Sekolah Berasrama 1Malaysia dengan menjadikan sekolah berasrama semasa lebih berciri pelbagai kaum dalam komposisi pelajar dan menubuhkan sekolah asrama berkualiti tinggi yang terbuka kepada semua.
Selain itu, dokumen Program Transformasi Kerajaan juga mahu institusi latihan perguruan menyediakan guru yang mempunyai pengetahuan, daya kesedaran dan kemahiran yang menjadikan mereka sensitif terhadap latar belakang pelajar yang berbeza-beza dan menangani perhubungan antara kaum dalam kaedah yang positif dan proaktif.

Sumber: http://www.tutor.com.my/tutor/

Rabu, 20 Oktober 2010

Peringatan

SARINGAN 3 LINUS
PERHATIAN :
1.  Data hendaklah diisi mengikut jumlah murid bagi setiap kelas dalam aliran tahun 1, walaupun semuanya telah berada di aliran perdana (BUKAN HANYA YANG MENGAMBIL SARINGAN 3). Contoh, sekiranya dalam 1 kelas semuanya telah berada di aliran perdana maka tuliskan jumlah murid di dalam kelas tersebut di kotak aliran perdana. Sekiranya dalam kelas tersebut ada murid linus tegar, linus dan perdana, isikah jumlah murid mengikut konstruk yang berkaitan.
2. Jumlah bilangan murid harus JUMLAH SEBENAR  yang ada dalam kelas tersebut.
3.  Kemasukkan data hanya dari 25 Okt - 5 Nov 2010

Selasa, 19 Oktober 2010

Karenah dan Kerenah

PERNAHKAH anda mendengar atau membaca ayat contoh yang berikut ini?
1. Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan karenah akhir zaman.
2. Kelambatan pemprosesan permohonan itu disebabkan oleh kerenah birokrasi.
Dalam kedua-dua ayat di atas perkataan yang bercetak condong ialah karenah (ayat 1), dan kerenah (ayat 2). Kedua-dua perkataan ini dibezakan sifat bunyinya oleh huruf vokal < a >, < e > pepet, dan < e > taling dalam suku-suku kata tertentu..
Kata karenah dibarisi oleh vokal < a > dalam suku kata pertama, dan vokal < e > taling dalam binaan suku kata kedua; maka bunyi kata ini ialah [ karénah ]. Kata kerenah dibunyikan sebagai [ k?r?nah ] dengan kedua-dua huruf vokal < e > dalam suku kata pertama dan suku kata kedua perkataan itu vokal < e > pepet.
Kata karenah yang berasal daripada perkataan bahasa Arab membawa empat maksud, iaitu makna alamat, bukti, tanda, dan cena (céna). Keempat-empat kata ini merupakan sinonim kepada kata karenah ini. Maksud karenah ini terkandung dalam ayat yang pertama di atas. Kita boleh sahaja menggantikan kata karenah dengan mana-mana kata sinonimnya, misalnya:
1. (a) Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan tanda akhir
zaman.
(b) Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan cena akhir
zaman; dan seterusnya.
Kata kerenah tidak asing lagi dimaklumi maknanya kerana kata ini sering
digunakan oleh komuniti bahasa Melayu dalam kegiatan berbahasa. Sedarlah bahawa ada beberapa maksud kata kerenah ini, iaitu ragam, tingkah laku, kemahuan dan perangai. Selain maksudnya yang terkandung dalam ayat (2) di atas, kata kerenah dapat digunakan seperti dalam ayat contoh (3) yang berikut:
3. Banyak benar kerenah budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.
Dan, jika hendak digantikan kata kerenah dalam ayat tersebut dengan kata-kata lain yang bersinonim dengannya, boleh sahaja. Misalnya:
3. (a) Banyak benar ragam budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.
atau
(b) Banyak benar kemahuan budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.
Selain itu, kata kerenah ini juga bermaksud oleh (sebab), dan cara. Kedua-dua maksud ini dibawakan oleh dua potong ayat yang di bawah ini:
4. Demikian itu kerenah dia bekerja, pantas tetapi kelam kabut sahaja.
(kerenah bermaksud cara)
5. Pekerja kontrak itu telah lama teraniaya kerenah tindakan majikan yang tidak bertimbang rasa.
(kerenah bermaksud oleh sebab)
Jelaslah, kata karenah dan kerenah, jika kita tersilap menggunakannya dalam
ayat, pastilah maksud ayat berubah, atau tidak mendukung maksud maklumat sebenar yang hendak diungkapkan. Oleh itu, berhati-hatilah memilih kata yang betul untuk menepati maksud sebenar yang hendak dinyatakan.
Karenah dan kerenah tidak sama dengan kata karena. Kata karena merupakan variasi ejaan kata kerana. Selain bentuk ejaan karena ini, dapat juga kita temukan bentuk-bentuk lain seperti kerana, kerena dan kerna. Oleh itu, kata kerana (bentuk ejaan baku bahasa Melayu) dieja juga sebagai karena, kerena dan kerna. Bentuk-bentuk, selain kerana, digunakan di negara jiran. Walaupun berkelainan ejaan, namun maksudnya tetap sama, iaitu hal yang menjadi sebab atau alasan
Begitulah bicara ringkas tentang kata karenah dan kerenah serta cara penggunaannya dalam bahasa Melayu. Semoga penjelasan ini bermanfaat kepada anda.

MAKLUMAN

SELAMAT MELAYARI LAMAN BLOG LINUS PPD BARAT DAYA..

PEMANTAUAN DAN BIMBINGAN LINUS 2014

FasiLINUS PPD Barat Daya akan melakukan penyeliaan, pencerapan dan bimbingan secara berfokus kepada semua sekolah dalam LITERASI BM, LITERASI BI dan NUMERASI....Mohon kerjasama semua setiausaha agar memastikan pengurusan LINUS dilaksanakan mengikut pekeliling yang sedang berkuatkuasa.









Tentang Kami

Foto saya
Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya Jalan Permatang Tepi 11000 Balik Pulau Pulau Pinang

Catatan Popular

Label