Rabu, 20 Oktober 2010

Peringatan

SARINGAN 3 LINUS
PERHATIAN :
1.  Data hendaklah diisi mengikut jumlah murid bagi setiap kelas dalam aliran tahun 1, walaupun semuanya telah berada di aliran perdana (BUKAN HANYA YANG MENGAMBIL SARINGAN 3). Contoh, sekiranya dalam 1 kelas semuanya telah berada di aliran perdana maka tuliskan jumlah murid di dalam kelas tersebut di kotak aliran perdana. Sekiranya dalam kelas tersebut ada murid linus tegar, linus dan perdana, isikah jumlah murid mengikut konstruk yang berkaitan.
2. Jumlah bilangan murid harus JUMLAH SEBENAR  yang ada dalam kelas tersebut.
3.  Kemasukkan data hanya dari 25 Okt - 5 Nov 2010

Selasa, 19 Oktober 2010

Karenah dan Kerenah

PERNAHKAH anda mendengar atau membaca ayat contoh yang berikut ini?
1. Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan karenah akhir zaman.
2. Kelambatan pemprosesan permohonan itu disebabkan oleh kerenah birokrasi.
Dalam kedua-dua ayat di atas perkataan yang bercetak condong ialah karenah (ayat 1), dan kerenah (ayat 2). Kedua-dua perkataan ini dibezakan sifat bunyinya oleh huruf vokal < a >, < e > pepet, dan < e > taling dalam suku-suku kata tertentu..
Kata karenah dibarisi oleh vokal < a > dalam suku kata pertama, dan vokal < e > taling dalam binaan suku kata kedua; maka bunyi kata ini ialah [ karénah ]. Kata kerenah dibunyikan sebagai [ k?r?nah ] dengan kedua-dua huruf vokal < e > dalam suku kata pertama dan suku kata kedua perkataan itu vokal < e > pepet.
Kata karenah yang berasal daripada perkataan bahasa Arab membawa empat maksud, iaitu makna alamat, bukti, tanda, dan cena (céna). Keempat-empat kata ini merupakan sinonim kepada kata karenah ini. Maksud karenah ini terkandung dalam ayat yang pertama di atas. Kita boleh sahaja menggantikan kata karenah dengan mana-mana kata sinonimnya, misalnya:
1. (a) Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan tanda akhir
zaman.
(b) Kejadian-kejadian ganjil yang sering terjadi kini menunjukkan cena akhir
zaman; dan seterusnya.
Kata kerenah tidak asing lagi dimaklumi maknanya kerana kata ini sering
digunakan oleh komuniti bahasa Melayu dalam kegiatan berbahasa. Sedarlah bahawa ada beberapa maksud kata kerenah ini, iaitu ragam, tingkah laku, kemahuan dan perangai. Selain maksudnya yang terkandung dalam ayat (2) di atas, kata kerenah dapat digunakan seperti dalam ayat contoh (3) yang berikut:
3. Banyak benar kerenah budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.
Dan, jika hendak digantikan kata kerenah dalam ayat tersebut dengan kata-kata lain yang bersinonim dengannya, boleh sahaja. Misalnya:
3. (a) Banyak benar ragam budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.
atau
(b) Banyak benar kemahuan budak ini, tidak terlayan oleh kakaknya.
Selain itu, kata kerenah ini juga bermaksud oleh (sebab), dan cara. Kedua-dua maksud ini dibawakan oleh dua potong ayat yang di bawah ini:
4. Demikian itu kerenah dia bekerja, pantas tetapi kelam kabut sahaja.
(kerenah bermaksud cara)
5. Pekerja kontrak itu telah lama teraniaya kerenah tindakan majikan yang tidak bertimbang rasa.
(kerenah bermaksud oleh sebab)
Jelaslah, kata karenah dan kerenah, jika kita tersilap menggunakannya dalam
ayat, pastilah maksud ayat berubah, atau tidak mendukung maksud maklumat sebenar yang hendak diungkapkan. Oleh itu, berhati-hatilah memilih kata yang betul untuk menepati maksud sebenar yang hendak dinyatakan.
Karenah dan kerenah tidak sama dengan kata karena. Kata karena merupakan variasi ejaan kata kerana. Selain bentuk ejaan karena ini, dapat juga kita temukan bentuk-bentuk lain seperti kerana, kerena dan kerna. Oleh itu, kata kerana (bentuk ejaan baku bahasa Melayu) dieja juga sebagai karena, kerena dan kerna. Bentuk-bentuk, selain kerana, digunakan di negara jiran. Walaupun berkelainan ejaan, namun maksudnya tetap sama, iaitu hal yang menjadi sebab atau alasan
Begitulah bicara ringkas tentang kata karenah dan kerenah serta cara penggunaannya dalam bahasa Melayu. Semoga penjelasan ini bermanfaat kepada anda.

Rabu, 13 Oktober 2010

Kata Ganda Berimbuhan

oleh MUHAMAD SALEHUDIN AMAN

KATA ganda berimbuhan ialah kata ganda yang memperoleh imbuhan, baik yang berupa awalan, akhiran, sisipan, atau apitan. Contohnya:
awalan: berangan-angan, mengangguk-angguk, jahit-menjahit, teresak-esak, asak-mengasak, setinggi-tinggi
akhiran: bau-bauan, sayur-sayuran, rumah-rumahan, puji-pujian, wangi-wangian
sisipan: tali-temali, turun-temurun, tulang-temulang
apitan: sehari-harian, bersorak-sorakan, kunjung-mengunjungi, melambat-lambatkan, kebiru-biruan, bercaci-cacian
Kata ganda berimbuhan boleh terdiri daripada pelbagai golongan kata, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan kata tugas (kata keterangan).
Contohnya:
Golongan Kata Contoh
Kata Nama buah-buahan, daun-daunan, sayur-sayuran, tumbuh-tumbuhan
Kata kerja bantu-membantu, kasih-mengasihi, meminta-minta, terkebil-kebil
Kata Adjektif besar-besaran, kecil-kecilan, keanak-anakan, kegila-gilaan, kemalu-maluan
Kata Tugas (Kata Keterangan) mati-matian, turun-temurun , mudah-mudahan, setidak-tidaknya
Seperti penulisan kata ganda seluruh, kata ganda berimbuhan mesti disertai tanda sekat atau tanda sempang (-) juga. Misalnya, jahit-menjahit, karang-mengarang, tulis-menulis, kata-mengatai dan tolong-menolong ditulis dengan membubuhkan tanda sekat di antara kata dasar dengan kata yang digandakan. Semua kata ganda contoh tadi tidak dieja seperti *jahit menjahit, *karang mengarang, *tulis menulis, *kata mengatai dan *tolong menolong.
Pada umumnya, kata ganda menyatakan makna jamak atau keadaan yang berpanjangan. Misalnya puji-pujian bererti beberapa banyak pujian, berangan-angan bererti beberapa banyak atau sentiasa berangan-angan yang berpanjangan, menunggu-nunggu bermakna beberapa banyak kali atau sentiasa menunggu. Demikian jugalah berdebar-debar atau tertahan-tahan yang bererti beberapa banyak kali berdebar dan beberapa banyak kali tertahan.
Kata ganda berimbuhan yang berfungsi sebagai kata keterangan tidak semestinya menyatakan makna beberapa banyak kali, melainkan hanya bertugas sebagai keterangan sahaja. Misalnya kata seakan-akan dan seolah-olah, iaitu dua contoh kata ganda berimbuhan sebagai keterangan. Seakan-akan dan seolah-olah tidak bermakna beberapa banyak kali akan dan olah, melainkan mendukung makna sama benar, atau seperti sesuatu.
Dalam pada itu, ada kata ganda berimbuhan dalam golongan kata kerja yang menyatakan makna saling melakukan antara dua pihak. Misalnya, serang-menyerang dan tangkis-menangkis bererti saling melakukan serangan atau saling menyerang, dan saling menangkis.
Dalam kata ganda berimbuhan serang-menyerang dan tangkis-menangkis, awalan men- hanya diimbuhkan pada kata serang dan tangkis yang akhir lalu menjadi menyerang dan menangkis, sedangan kata serang dan tangkis sebagai permulaannya tidak menerima awalan men- itu. Harus diingat bahawa sebarang kata yang berawalan me- menjadikan sesuatu kata itu kata kerja aktif. Jika awalan me- digugurkan, maka terjadilah kata kerja pasif. Oleh sebab itu, kata serang-menyerang dan tangkis-menangkis mempunya makna pasif (serang, tangkis) dan makna aktif (menyerang, menangkis) sekali gus.
Sebagai misal, makna ayat Amdan dan Amzan serang-menyerang ialah Amdan diserang dan menyerang Amzan dan Amzan menyerang dan diserang Amdan.
Demikianlah huraian ringkas tentang kata ganda berimbuhan bahasa Melayu. Kata ganda jenis ini dapat membentuk satu bentuk ungkapan yang indah dan menarik dalam pengucapan. 

Sumber: http://www.tutor.com.my/

Selasa, 12 Oktober 2010

Kelas 2020: Sekolah lemah dipantau

KERAJAAN akan membantu sekolah yang kurang berdaya maju untuk melaksanakan impian kelas 2020, melalui program penambahbaikan pencapaian sekolah, dengan fokus memperbaiki pencapaian pelajar, dan menjadikan semua sekolah berprestasi tinggi menjelang tarikh keramat itu.

Bagaimanapun, sekolah yang telah menjalankan program penambahbaikan diminta meneruskan inisiatif mereka. Dalam kes ini, program penambahbaikan sekolah akan membantu memudahkan program sedia ada oleh pihak sekolah.

Ke arah itu, satu sistem pengumpulan data berpusat dan mekanisme bantu kendiri akan diperkenalkan bagi membolehkan guru menjejak dan mencapai maklumat tentang pencapaian sekolah masing-masing, dan apakah langkah yang boleh dilakukan untuk menambah baik.
Program itu yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan menangani isu kritikal tenaga kerja yang mampu berdaya saing - khususnya dalam mengejar impian menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Program penambahbaikan sekolah ini akan menjadi asas kepada usaha untuk semua sekolah mencapai standard sekolah berprestasi tinggi.
Semua pengetua dan guru besar akan diberi kuasa autonomi untuk mengurus tadbir sekolah, mengurus sumber yang sedia ada dan menghasilkan pelajar seperti mana yang diharapkan.
Program penambahbaikan sekolah terdiri daripada tiga elemen, yang akan dilaksanakan mengikut urutan berikut:
1. Pengkelompokan - Sekolah akan diberi penarafan mengikut kelompok pencapaian. Antaranya mengikut Piawaian Gred Purata Sekolah (GPS) dan Piawaian Kualiti Pendidikan Malaysia (SQEM). Status ranking ini akan dimaklumkan kepada sekolah pada setiap tahun.
2. Perkakasan penambahbaikan sekolah - Data keperluan khusus sesebuah sekolah akan dikumpul, membantu pentadbir sekolah membuat keutamaan dan perancangan, dan memudah cara; diskusi berterusan antara pihak sekolah dengan Jabatan Pelajaran Negeri.
3. Talian khidmat - Mengenal pasti ruang yang perlu diperakui berdasarkan bukti yang telah dikumpulkan, akan disalurkan dari Kementerian Pelajaran kepada sekolah, dengan sasarannya ialah para pengetua, pelajar dan ibu bapa - selain infrastruktur.
Sementara program sekolah berprestasi tinggi bertujuan meletakkan tahap sekolah pada satu kedudukan yang cemerlang, program penambahbaikan sekolah ini pula bertujuan meningkatkan mutu semua sekolah, serta menghubungkan segala inisiatif yang ada di KPM, seperti inisiatif baru kepada pentadbiran sekolah, program literasi dan numerasi (LINUS) serta transformasi kurikulum.
Program penambahbaikan sekolah lebih bersifat berpusatkan sekolah. Hal ini bagi membolehkan pengetua atau guru besar memiliki kuasa autonomi untuk melaksanakan program penambahbaikan - sama ada berkaitan hal pentadbiran sekolah atau penambahbaikan program keguruan masing-masing.
Program kali ini bukan lagi berfokus kepada kawasan atau sekolah tertentu. Program ini akan meliputi 10,000 buah sekolah di seluruh negara.
Pengenalan kepada inisiatif pengkelompokan sekolah adalah sebahagian daripada kelancaran program inisiatif dan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar, dengan mutu perkhidmatan mereka menjadi pertaruhan.
Di bawah program penambahbaikan sekolah, pengkelompokan memberi gambaran kepada pencapaian sesebuah sekolah dan memudahkan untuk dibantu.
Kerajaan kini menggalakkan Sekolah Berasrama 1Malaysia dengan menjadikan sekolah berasrama semasa lebih berciri pelbagai kaum dalam komposisi pelajar dan menubuhkan sekolah asrama berkualiti tinggi yang terbuka kepada semua.
Selain itu, dokumen Program Transformasi Kerajaan juga mahu institusi latihan perguruan menyediakan guru yang mempunyai pengetahuan, daya kesedaran dan kemahiran yang menjadikan mereka sensitif terhadap latar belakang pelajar yang berbeza-beza dan menangani perhubungan antara kaum dalam kaedah yang positif dan proaktif.

Ahad, 10 Oktober 2010

Falsafah di sebalik pemansuhan UPSR

Falsafah di sebalik pemansuhan UPSR

Oleh WAHID HASHIM wahid.hashim@utusan.com.my
PENGGUBALAN apa juga sistem dan proses dalam pendidikan memang dibenarkan. Hal ini kerana Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak mengehadkan seseorang pelajar untuk membuat apa, menjadi apa atau bersikap bagaimana ketika berada dalam sistem.
Asalkan pelajar boleh menyesuaikan diri mereka dengan pelbagai perubahan yang berlaku sepanjang hayat mereka, maka sistem dibenarkan untuk berubah.
Guru perlu tahu dan faham akan hal ini kerana kebanyakan yang kurang senang dengan cadangan itu, khabarnya ialah mereka - para guru sendiri.
Sebenarnya, kita tidak perlu bimbang akan keselesaan dan kesenangan yang kita kecapi selama ini akan tergugat kalau yang kita fikirkan ialah masa depan anak-anak kita dan negara.
Jadi, bila ada cadangan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya tidak ada alasan untuk membuat bantahan kerana sistem pendidikan kita terbuka kepada perubahan yang dinyatakan dalam FPK.
Namakan apa sahaja - evolusi, revolusi, penambahbaikan - tujuannya adalah sama, menyediakan anak-anak kita dengan perubahan yang bersesuaian dengan zamannya nanti.
Memang tidak ada yang kekal di muka bumi Allah ini kecuali perubahan. UPSR bukan makalah wahyu yang tidak boleh diubah semata-mata ia telah dilaksanakan lebih daripada 15 tahun.
Secara asasnya, FPK - daripada dahulu sehingga sekarang - ialah pembangunan modal insan bermatlamat memperkembang potensi individu secara menyeluruh, untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi.
Hal ini bertujuan untuk melahirkan pekerja yang berilmu dan berketrampilan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif bagi memenuhi keperluan negara untuk mencapai kecemerlangan dalam ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau jargon semasa, k-ekonomi.
Oleh itu, asas kepada perubahan ini terletak kepada beberapa perkara dan semua orang perlu bersikap terbuka - bukan sahaja masyarakat, tetapi juga guru, para pegawai kementerian, penggubal dasar dan sebagainya.
Kita juga sering mendengar rungutan tentang sikap segelintir pegawai di dalam kementerian yang beria-ia benar hendak mempertahankan kurikulum sedia ada, kononnya yang terbaik - sehingga menutup pintu kepada cadangan oleh pihak luar yang mungkin lebih profesional dan semasa sifatnya.
Parameter pertama di bawah FPK yang perlu mengalami perubahan ialah penyediaan kurikulum yang lebih relevan. Kurikulum perlu diubah suai mengikut keperluan semasa supaya murid memperolehi pengetahuan terkini, mengikuti perkembangan sosial dan menguasai kemahiran yang bernilai dari segi ekonomi.
Kedua ialah penyediaan sistem penyampaian yang berkesan - Sistem penyampaian yang berkesan akan meluaskan pengalaman murid kerana mereka dapat maklumat daripada pelbagai punca maklumat di seluruh dunia dengan menggunakan teknologi yang canggih seperti ICT. Sistem ini juga membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan.
Ketiga ialah penekanan kepada pendidikan agama dan moral. Peningkatan kepada salah laku dalam kalangan pelajar sekolah dan gejala sosial dalam masyarakat memerlukan penerapan nilai agama dan moral pada semua peringkat pendidikan diperkukuh dan memastikan nilai baik dapat dihayati dalam semua aspek kehidupan.
Sebagai tambahan, pemupukan semangat patriotik perlu dipupuk melalui semua mata pelajaran. Pemupukannya juga dapat dilakukan melalui aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat.
Pemupukan semangat patriotisme bertujuan untuk melahirkan murid yang mempunyai semangat cinta- kan negara dan berbangga sebagai rakyat Malaysia. Selain pembangunan insan, pendekatan strategik juga seharusnya berfokus kepada pembangunan sumber pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan.
Setelah memahami kandungan FPK, marilah kita bertanya, sama ada UPSR - juga peperiksaan awam lain - telah mencapai gagasan membangunkan modal insan yang kita impikan itu.
Kalau belum, mengapa tidak kita ganti sahaja dengan yang lain. Mungkin perubahan dalam sistem pendidikan kelak umpama banjir besar - menghanyutkan terus sistem lapuk dan orang yang enggan berubah di dalam laluannya.

Jumaat, 8 Oktober 2010

Mesyuarat Penyelarasan Saringan 3 2010


7 Oktober 2010- Mesyuarat Penyelarasan Saringan 3 telah diadakan di PPD Barat Daya. Mesyuarat telah dikendalikan oleh Pn. Norhashimah Hashim dan En. Roslan Mohamed selaku fasilinus Daerah. Seramai 36 orang Setiausaha Linus telah hadir mewakili sekolah masing-masing. Alhamdulillah. majlis dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Mesyuarat ini juga dihadiri oleh En. Azizi Abdullah Sani (Ketua Unit Akademik)dan Cik Ummu Salamah Abd Kader Mydin (Pegawai Akademik)

Puan Norhashimah Hashim sedang memberi penerangan kepada S/U Linus
Cik Ummu Salamah tekun mendengar taklimat.
Sesi Taklimat
Sebahagian S/U Linus Daerah Barat Daya

Mesyuarat Penyebaran & Penyelarasan Kursus Linus Tahun 2

6 Oktober 2010- Mesyuarat Penyebaran & Penyelarasan Kursus Linus tahun 2 telah diadakan di PPD Barat Daya. Mesyuarat ini dikelolakan oleh Unit Kurikulum Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang. Mesyuarat ini dihadiri oleh  Ketua Unit Kurikulum JPN En Sabirin Abdul Ghani., En. Kamarozaman Hj Ahmad (Pegawai Literasi) JPN, En. Huzaimi Hashim (Pegawai Numerasi) dan Fasilinus Daerah PPD Timur laut, Tengah, Utara dan Selatan.

TARIKH : 6 OKTOBER 2010
MASA ; 8.30 pagi
TEMPAT : PPD BARAT DAYA

AGENDA : -UCAPAN PENGERUSI
  1. TAKLIMAT KURSUS LINUS 2010
  2. MESYUARAT PENYELARASAN KURSUS LINUS 2010
ž540 GURU BAHASA MATEMATIK DAN BAHASA MELAYU TAHUN 2 AKAN DIBERI KURSUS
ž8 PAKEJ KURSUS (4 PAKEJ LITERASI DAN 4 PAKEJ NUMERASI)
žSERAMAI 4 JURULATIH KEBANGSAAN DAN 23 JURULATIH NEGERI TERLIBAT. TERDIRI DARIPADA 21 FASI LINUS DAN 2 JURULATIH DARIPADA SEKOLAH.
žSETIAP PAKEJ MERANGKUMI 4 PEGAWAI JPN, 2 PEGAWAI PPD,5-6 FASI LINUS, 1-2 PEGAWAI KPM, 1 URUS SETIA.
žTAKLIMAT  KURSUS AKAN DIBERI OLEH PEGAWAI JPN, DAN DIBANTU OLEH FASI LINUS (KANDUNGAN KURSUS).

En. Sabirin Abdul Ghani dari Ketua Unit Kurikulum JPN mempengerusi mesyuarat. 

žTARIKH-TARIKH KOHOT
   KOHOT 111-13 OKT. 2010, HOTEL SERI MALAYSIA (NUMERASI )
   KOHOT 213- 15 OKT. 2010, HOTEL SERI MALAYSIA(LITERASI PPDTL)
   KOHOT 3/4 18-20 OKT. 2010, NAZA TALYYA HOTEL(LITERASI DAN NUMERASI)
   KOHOT 5/6 01-03 NOV. 2010, TANJONG BUNGAH HOTEL (LITERASI DAN NUMERASI)
   KOHOT 78-10 NOV. 2010, NAZA TALYYA HOTEL (NUMERASI) 
   KOHOT 810-12 NOV. 2010,  HOTEL TANJONG BUNGAH (LITERASI)

Gambar atas: Sebahagian Pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah Tengah, Utara, Selatan dan Timur Laut

MAKLUMAN

SELAMAT MELAYARI LAMAN BLOG LINUS PPD BARAT DAYA..

PEMANTAUAN DAN BIMBINGAN LINUS 2014

FasiLINUS PPD Barat Daya akan melakukan penyeliaan, pencerapan dan bimbingan secara berfokus kepada semua sekolah dalam LITERASI BM, LITERASI BI dan NUMERASI....Mohon kerjasama semua setiausaha agar memastikan pengurusan LINUS dilaksanakan mengikut pekeliling yang sedang berkuatkuasa.









Tentang Kami

Foto saya
Pejabat Pendidikan Daerah Barat Daya Jalan Permatang Tepi 11000 Balik Pulau Pulau Pinang

Catatan Popular

Label